Batu Seremban : Selambut

Selambut atau juga dikenali sebagai Batu Seremban atau Serembat ialah sejenis permainan tradisional yang dimainkan di Malaysia. Selambut adalah sebutan di sebelah utara dan pantai timur Semenanjung, manakala di pantai barat semenanjung permainan ini dikenali sebagai Seremban. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan secara individu atau secara berkumpulan seramai dua hingga lima orang.
Permainan selambut cuma memerlukan beberapa biji buah. Guli kaca, biji getah, anak batu kerikil atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasa digunakan, lazimnya sebanyak lima biji. Selain itu, karung kain yang dijahit dan diisi dengan biji saga, pasir dan sebagainya juga digunakan.
Permainan ini sering dimainkan di waktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah, di taman atau di mana sahaja yang terdapat permukaan yang rata dan bersih. Para pemain duduk di atas lantai, dan bermain mengikut giliran.


Menentukan Giliran

Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.

Cara Bermain

Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

Buah Satu

Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, dalam masa yang sama sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah menyambut buah ibu, apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.

Buah Dua

Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan.

Buah Tiga

Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.

Buah Empat

Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.

Buah Lima

Diperingkat ini urutan dari memainkan buah empat, sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah, sebiji dari buah hendaklah dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula serta menyambut buah ibu sahaja.

Buah Enam

Ditahap buah enam terdapat perbezaan, ianya juga dinamakan buah tukar dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu itu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat di atas lantai, sehingga selesai.

Buah Tujuh

Buah tujuh adalah urutan dari peringkat permainan buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serantak. Sementera itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan, sebiji disebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkah hendaklah juga disambut.

Menimbang

Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya.

Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula, buah satu dan seterusnya sehingga mati.

Mati Permainan

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.



2 Response to "Batu Seremban : Selambut"

  1. kuya Says:
    August 12, 2010 at 4:45 AM

    eh boleh ke main guna benda 2..bukan ke kena pakai batu betul

  2. dp_bobster says:
    August 12, 2010 at 4:48 AM

    permainan ini memerlukan beberapa biji buah.x kira lar guna benda ape pon mcm guli kaca, biji getah, anak batu kerikil atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat juga digunakan, Selain itu, karung kain yang dijahit dan diisi dengan biji saga, pasir dan sebagainya juga digunakan.

Post a Comment