Wau : Raja langit

Cara bermain


Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.
Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.


Menghasilkan wau


Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbangkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.

maklumat lanjut klik link ini : http://ms.wikipedia.org/wiki/Wau

0 Response to "Wau : Raja langit"

Post a Comment